sepenting genting

12th September 2011 | Categories: Culture,People

LIKED
VIEWED
421
SHARE
MISCELLANEOUS

Bengkel atap senggora yang terakhir.


Oleh Latfy A Latif

Hari ke 6 Ramadhan itu lebih panas daripada biasa. Sukatan suhu pada jam saya menunjukkan angka 35 darjah celcius. Perit. Bahang musim panas di Kelantan sangat berbisa, apatah lagi bila sedang berpuasa.

Kami tiba di Kampung Pengkalan Baru, Tanjung Pauh, Bachok itu waktu matahari betul-betul tegak di atas kepala. Berhenti di perkarangan bengkel pembuatan atap senggora/sighora, saya masih was-was sama ada di bawah bumbung yang labuh hampir mencecah tanah itu ada penghuni. Oh, ada orang. Susah mengagak, kerana mata masih terkebil-kebil melawan terik matahari di siang hari tidak berawan.
Kami masuk ke dalam dan memberi salam. Bengkel tidak berdinding. Genting senggora yang masih bersih, tidah berlumut digunapamer pada atap yang labuh itu. Ah, teknik pemasaran yang amat berkesan, bisik hati saya. Dari jauh orang boleh nampak, dan dari jauh orang boleh tahu itu bengkel atap genting senggora. Harap di dalamnya tidak terlalu panas, kerana bumbung lebih rendah daripada biasa.

Kami diberitahu tentang kewujudan tempat ini daripada Puan Rosnawati, pengarah Akademi Nik Rashiddin. Atap genting senggora untuk mengatapi wakaf di Kandis itu dibeli dari sini. Katanya hanya inilah satu-satunya bengkel membuat atap genting senggora yang masih teguh di Semenanjung, kalau tidak di Malaysia!




Beberapa orang wanita separuh umur masing-masing yang tadi sedang ralit dengan kerjanya, mengangkat muka memandang kami. Seorang makcik sedang duduk di atas pangkin sambil berehat, seorang lagi sedang bersila selesa di atas timbunan tanah liat, seorang lagi sedang memotong tanah, dan yang satu lagi sedang menyusun kepingan atap genting yang sudah kering. Saya bertanyakan siapa si empunya bengkel. Tiada jawapan. Saya ulangi lagi soalan dengan hormat. Rupanya wanita yang sedang duduk bersila di atas timbunan tanah liat itulah dia. Agaknya mereka mahu menguji sejauh mana sejengkal kail saya.

Puan Noraini Hj Jusoh. Selesa dengan panggilan Kak Ani. Beliau merupakan keturunan ke 5 yang mengusahakan bengkel membuat atap genting senggora ini. Diwarisi dari datuk, bapa, kini perusahaan ini digiatkan oleh beliau bersama adik iparnya.

Seorang wanita yang sangat peramah, beliau tidak jemu dengan pertanyaan saya yang terlalu asas, walaupun saya mengagak sudah beratus kali Kak Ani diajukan dengan soalan-soalan sebegini oleh produser siri dokumentari warisan, atau pelajar-pelajar jurusan seramik dari IPT tempatan sejauh Sri Iskandar yang datang 2 kali setiap tahun, atau pengkaji ilmu tanah liat yang teliti menyudahkan tesis doktor falsafahnya. Beliau tidak jemu. Agaknya itulah petua, yang mendorong beliau dan keluarganya mengharungi saat-saat yang tidak menentu pada tahun-tahun dahulu.

Tahun-tahun dahulu. Kak Ani memulakan kisah genting senggora dari situ. Tahun 1960. Katanya terdapat lebih kurang 40 bengkel pembuatan atap genting senggora di sepanjang tebing sungai kampung ini. Sungai yang bertemu laut menghasilkan tanah liat yang terbaik isi mineralnya, menjadikan kampung tersebut mewah dengan perusahaan ini. Kandungan mineral tanah liat amat penting dalam menghasilkan kepingan atap yang bermutu, seperti yang ada di sini. Kenyataan ini disokong dengan fakta kajian seorang pengkaji yang banyak menyokong usaha Kak Ani.

Nah, kalau begitu bermutu tanah liatnya, ke mana pergi bengkel perusahaan yang lain, hinggakan sekarang hanya tinggal satu?

Tembakau.

Tembakau, kata Kak Ani. Sekitar tahun 1970an, tembakau memasuki daerah Bachok. Maka berpusu-pusulah orang kampung mengusahakannya, meninggalkan kepingan atap genting satu demi satu.

Kemudian datang perusahaan arang batu. Berebut orang ramai membuka perusahaan membuat arang batu. Semakin lama perusahaan membuat atap senggora ditinggalkan, kerana arang batu dan tembakau pulangannya lebih lumayan. Permintaan kepada atap genting juga berkurangan, diganti dengan edek yang lebih tahan dan cantik.

Seingat Kak Ani, dapur membakar atap gentingnya hanya berasap dua hingga tiga kali sahaja pada tahun 1973.

Tetapi segalanya berubah pada tahun 1990, apabila Raja Bahrin, seorang arkitek restorasi dari Terengganu datang berkunjung dan membuat pesanan untuk projek-projek pemuliharaan beliau. Permintaan semakin lama semakin meningkat, dan pada tahun 2002, Kak Ani mendapat tempahan daripada Taman Mini Malaysia di Melaka. Dari situ Kraftangan Malaysia mula melihat kepentingan perusahaan ini, dan mengisytiharkannya sebagai kraf warisan.

Proses pembuatan atap genting senggora tidak rumit, tetapi proses membakarnya agak lama. Tanah dari sungai di bawa ke bengkel dan bahan-bahan yang tidak dikehendaki di buang. Menurut Kak Ani, tanah liat ini sudah sedia semulajadi bersih, dan boleh terus diguna untuk pembuatan atap.

Kak Ani tidak mahu menghampakan kami yang datang dari jauh. Beliau bingkas bangun, mahu menunjukkan cara. Tanah liat diuli dan dimasukkan ke dalam acuan yang diperbuat daripada kayu. Kak Ani memijak dengan kaki agar tanah liat mampat di dalam acuan. Begitulah sejak dari dahulu, membuat atap genting menggunakan tapak kaki, sudah menjadi hikayat yang pasti menarik minat orang yang mendengar. Seterusnya seutas dawai yang diikat pada sebatang kayu bengkok digunakan untuk memotong tanah liat, mengikut tebal acuan yang diminta pembeli. Sekeping demi sekeping atap dihasilkan, di selang seli dengan taburan sekam padi halus pada permukaan dalam acuan untuk mengelakkan tanah liat tadi melekat terus.

Sejurus itu kepingan atap tadi dibawa ke bawah terik matahari untuk dikeringkan. Setiap kepingan dibengkok hujung sebelah atas supaya boleh disangkut pada batang kayu atap rumah tanpa menggunakan paku. Segalanya dibuat secara manual, sentiasa bercangkung, dibawah panas terik matahari, di atas tanah.

Apabila telah kering, kepingan itu dibawa ke dalam untuk diluruskan dan disusun, serta diketuk untuk pelarasan, sebelum dibakar. Pembakaran dibuat di dalam sebuah ruang bakar yang diperbuat dari susunan bata. Kepingan disusun, ditutup dengan bata, dan api dinyalakan dari sebelah tepi, bukan dari bawah seperti kebiasaan membakar tanah liat.

Proses membakar berlangsung selama 10 hari: 7 hari menggunakan api kecil, 3 hari dengan api besar. Kemudian dibiarkan sejuk selama 10 hari. Perlu tahu mengendali api dan bahang supaya kepingan tidak pecah. Rumit.

Lama juga kami berada di bawah bumbung bengkel itu. Tidak pula terasa panas bahang. Saya teragak-agak menyentuh atap bengkel yang rendah itu dari dalam. Rupa-rupanya tidak sepanas yang disangka. Seolah tidak berbekas haba dari matahari walaupun di luar bahangnya menyucuk-nyucuk.

"Itulah kelebihan atap genting senggora!", kata Kak Ani. Ya, tidak terasa bahang walaupun pada hari yang panas. Bumbung yang rendah juga tidak menambah kesan panas kepada kami di dalam. Ajaib! Sebab itulah orang-orang lama menyukai atap ini. Dan andainya pecah sekeping di bumbung, ia boleh ditukar dengan mudah dari dalam rumah sendiri. Hanya perlu angkat kepingan atap lapisan di atas, lalu diselit atap yang baru. Itu saja. Agaknya kerana itulah rumah-rumah kampung tidak mempunyai siling, untuk memudahkan penggantian, dan membantu pergerakan angin.

Hari ini tidak ramai pekerja yang datang. Penat berpuasa, kata taukeh. Pada hari yang baik mereka boleh menghasilkan 2,000 keping jika penuh kehadiran. Saya berjanji untuk datang lagi mengambil gambar dan mendokumentasi.

Saya kira sudah banyak liputan yang dibuat tentang perusahaan kraf warisan ini: di dalam blog persendirian, kajian siswazah, siri dokumentari tv, atau sesi fotografi. Masing-masing membantu dalam sudutnya sendiri. Kami berharap Kak Ani dan keluarganya terus menerus melangsungkan usaha ini. Sukar juga, apabila punca rezeki itu jugalah satu satunya warisan negara yang perlu dikekalkan. Dan satu hari nanti elemen komersial akan perlahan-lahan memaksa perusahaan ini bersaing, dan proses penghasilan cara lama akan terpaksa ditukar kepada cara baru yang lebih pantas dan efisyen. Begitulah yang terjadi kepada pembuatan labu sayong di Perak. Teknik acuan yang lebih pantas menggantikan cara lama yang mengambil masa. Selalunya begitu. Tetapi selagi dikekalkan mutu dan nilai hasilnya, bukan cara yang dipentingkan, tetapi produk warisan yang berfungi dan kekal relevan dengan masa dan zaman, dan sentiasa mekar digunapakai dalam kehidupan.


tf Go to Flickers.my Go to IDEAS Go to Galeri Chandan Go to Raja Shamri of GoldenMinds